Back To Top

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA MENGASIHANI

KOMEN/CADANGAN/TEGURAN ....tunmdir@yahoo.com
Showing posts with label tazkirah. Show all posts
Showing posts with label tazkirah. Show all posts

Tuesday, October 23, 2012

MENCARI PENAWAR DUKA, PENGUBAT SENGSARA

*****credit to....Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Apabila insan terjatuh dalam ujian hidup; kesusahan, keperitan, kezaliman, keresahan, kesedihan dan segala rupa paras penderitaan, insan akan bertanya, apakah penawarnya? Di manakah jalan keluar dari segala kegelapan ini? Bagaimana mungkin dapat aku buang derita yang bersarang dalam jiwa dan peristiwa? Dapatkah aku keluar dari kemelut ini?

Sebahagian ujian itu, jika diukur dengan akal insani, seakan tiada lagi baginya jalan keluar. Warna kegelapan kadang-kala merangkumi segala penjuru, hanya Allah sahaja yang mampu mengeluarkan insan dari keadaan yang sedemikian. Kadang-kala pula insan terpaksa berhadapan dengan realiti yang amat pahit, tidak mampu ditolak oleh dirinya yang kerdil. Namun, insan yang beriman yakin bahawa Allah Yang Maha Berkuasa boleh menukar segala keadaan. Menggantikannya dengan lebih baik yang tidak disangka. Memindahkan duka kepada bahagia dalam pelbagai rupa dan warna.
Persoalannya, bagaimanakah caranya agar Allah Yang Agung melimpahkan rahmatNya lalu menurunkan pertolonganNya. Ya, memang insan disuruh berdoa dan merintih kepadaNya. Namun apakah caranya agar mustajab lalu Allah membawanya keluar dari daerah duka kepada daerah sejahtera atau bahagia? Apakah ungkapan yang meredhakan Tuhan al-Rahman yang menjadikanNya dengan pantas mendengar rintihan insan?
Insan perlu sedar, antara penghalang rahmat Tuhan kepadanya adalah dosa dan kesalahannya. Dan, setiap insan pula tidak terlepas dari salah dan dosa. Sehebat mana pun, sealim mana pun dia, insan tetap insan, terdedah kepada dosa. Jika tidak anggotanya, mungkin dosa jiwa atau hati nurani yang sombong dan bongkak, atau hasad atau sangka buruk dan pelbagai lagi. Percikan dosa sentiasa ada. Ia penghalang cahaya indah syahdu antara nurani insan mendampingi Allah untuk menjadi kekasihNya. Maka, doa sentiasa diganggu oleh dosa. Apakah penawar yang menerangi jalan agar doa itu sampai kepada insan dengan pantas dan mustajab?Jawapannya ialah taubat dan ‘istighfar’ iaitu kembalikan kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya. Dengan jujur, dengan luhur, dengan kusyuk. Itulah penawar yang akan membuka kebahagian hidup. Itulah janjiNya: (maksudnya)
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian bertaubat kepadaNya supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia)…” (Surah Hud: 3)
Janji Yang Pasti
Setiap kita pernah melalui duka dan sengsara. Kita mencuba perbagai ungkapan dan doa agar Allah mendengar rintihan kita. Ya, doa itu senjata. Namun, di sana ada satu pemohonan yang jika dibuat oleh insan dengan keikhlasan jiwa, pengharapan dari lubuk jantung hatinya maka Allah akan mendatang pelbagai kebaikan lain kepadanya. Dikeluarkan dari kesempitan hidup, diberi kurnia rezeki dan anak, kebahagiaan jiwa dan ditambah kekuatan dan pertolongan.
Inilah janjiNya dalam al-Quran. Bukan janji yang diadakan oleh sesetengah buku doa, atau bicara tokoh-tokoh agama yang kadang-kala mengada-adakan pelbagai doa ‘sendirian berhad’ mereka yang entah dari mana dikutipnya. Tidak! Ini adalah jaminan langsung dari Allah dalam kitabNya. Apakah pemohonan itu? Pemohonan ialah doa agar Allah S.W.T mengampuni dosa. Apabila ia dilafazkan dengan ikhlas dan jujur. Sebanyak-banyaknya. Dengan kekerdilan diri, tunduk dan insaf, maka keajaiban pertolongan Allah pun akan datang dalam pelbagai rupa dan cara. Inilah janji dalam banyak ayat dalam al-Quran.
Firman Allah menceritakan nasihat Nabi Nuh a.s. kepada kaumnya: (maksudnya)
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (sekiranya kamu berbuat demikian) Dia akan menghantarkan langit yang mencurah-curah (hujan) kepada kamu. Dan Dia akan memberi kepada kamu banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; Dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai” (Surah Nuh: 9-12).
Pelbagai Kurnia
Inilah janji Allah kepada yang berikan kepada sesiapa yang beristighfar dengan ikhlas. Atas lisan Nabi Nuh a.s. Allah berjanji untuk menurunkan hujan rahmatNya, dibanyak rezeki dan anak, diberikan harta yang berharga dan subur. Maka, yang beristighfar dengan penuh ikhlas sebanyaknya, akan menikmati peruntukan ini. Kekurangan hujan, harta, anak, kesuburan dan segalanya penawarnya ialah ‘istighfar’.
Dalam Miskat al-Masabih ketika membahaskan hadis istighfar, diriwayatkan seseorang datang kepada al-Imam Hasan al-Basri r.a mengadu tanahnya tidak subur, lalu jawab Hasan al-Basri: Beristighfarlah. Datang yang lain mengadu kemiskinan, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang yang lain minta doa agar direzekikan seorang anak, jawab beliau: Beristighfarlah. Datang pula yang lain mengadu kebunnya kekeringan, jawab beliau: Beristighfarlah. Lalu ditanya Hasan al-Basri mengapa jawapannya semua sama bagi soalan yang berbeza. Katanya “Ini bukan pendapatku, inilah yang Nabi Nuh a.s sebut” –lalu beliau membaca ayat di atas.
Mengelakkan Bala
Allah juga menjamin bahawa Dia tidak akan mengazabkan insan di dunia ataupun di akhirat kita insan itu benar-benar beristighfar kepadaNya. Hambatan dan ketakutan terhadap dosa dapat dibentengi oleh istighfar yang ikhlas. Inilah janji Allah. Dia Maha Benar janiNya. Firman Allah: (maksudnya)
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka sedang engkau (wahai Muhammad) ada antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar” (Surah al-Anfal: 33).
Inilah janji Allah. Dalam ayat ini; kewujudan Nabi s.a.w dan kewujudan istighfar menghalang azab Allah. Adapun Nabi s.a.w baginda sudah tiada dalam kalangan kita, namun istighfar terus ada jika kita mengamalkannya. Wahai jiwa yang dihambat dosa! Beristighfarlah sebanyak-banyaknya nescaya diselamat dari bala dosa. Wahai yang takut ditimpa bala! beristighfarlah.
Ditambah Kekuatan
Gelora hidup kadang-kala amat menakutkan. Ia memukul insan dari sudut yang diduga dan tidak diduga. Jika hanya bergantung kepada kekuatan diri semata, insan akan terkorban dan tidak akan berdaya. Ganasnya lautan hidup hanya dapat dihadapi dengan kekuatan kurniaan Allah. Firman Allah: (maksudnya)
“(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)”. (Surah Hud: 52).
Dengan tambahan kekuatan dari Allah dan bantuanNya insan merasai kekuatan dalam menelusuri permusafiran di dunia yang fana ini.
Maka membanyakkan istighfar adalah penawar hidup. Betapa banyak kisah insan-insan yang Allah berikan pelbagai kurnia disebabkan mereka membanyakkan istighfar. Betapa banyak hamba-hamba Allah yang diselamatkan dari pelbagai kesusahan, diberikan ketenteraman jiwa dan pelbagai pertolongan berkat keikhlasan istighfar mereka. Setiap insan yang beristighfar dengan ikhlas sebanyak-banyaknya pada sesuatu hari akan merasai kesyahduan ruhnya. Allah akan membuka ufuk akalnya. Dia akan alami kekudusan jiwa, kesegaran minda dan merasai perdampingan dengan Allah.
Tapi syaratnya, hendaklah istighfar yang ikhlas. Bukan yang hanya ‘berlagu’ dimulut tapi kontang jiwanya dalam mengharapkan keampunan Allah. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (w. 728H) menceritakan bahawa bagaimana beliau apabila menghadapi masalah, beliau akan beristighfar sehingga seribu kali atau lebih, di mana sahaja beliau berada; di masjid, di pasar, di pusat pengajian sehinggalah beliau dapati Allah lapangkan dadanya dan tunaikan hajatnya. (lihat: Ibn ‘Abd al-Hadi, al-‘Uqud al-Durriyah, 21. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi).
Marilah kita banyakkan istighfar, ia adalah penawar. Istighfar adalah penyembuh derita jiwa seorang hamba. Ia membawa kurnia Allah yang disangka dan tidak disangka. Maka datanglah rezeki, kebahagiaan dan pertolongan. Hiasilah kepahitan hidup dengan istighfar, nescaya kita akan merasai kemanisan dan kelazatan berada di persada alam yang sementara ini.

HUDUD DAN BEBERAPA GAMBARAN SALAH

*****credit to....Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Perbincangan ini menyambung artikel yang lepas tentang perlaksanaan hudud. Ramai orang salah sangka apabila membayangkan negara yang dipimpin berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah itu sebagai negara yang agenda utamanya mengintip dan menghukum rakyat yang tidak mematuhi syariat.

Gambaran negara yang islamik sebagai negara yang sibuk mencari pesalah untuk dihukum dengan undang-undang hudud adalah gambaran yang silap yang ada di fikiran sesetengah pihak yang kurang memahami Islam. Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, hudud hanya makanisme untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu, bukan gambaran keseluruhan negara Islam, bahkan bukan hudud juga undang-undang yang merangkumi semua jenayah.

Banyak lagi jenayah yang tidak tersenarai di bawah hudud. Peratusan besar jenayah yang pelbagai, terutama di zaman ini berada di bawah takzir (discretionary punishment). Makanisme ini pula memerlukan suasana yang kondusif untuk perlaksanaannya.

Seseorang muslim apabila berbicara tentang pemerintahan dan tanggungjawab pemerintahan bukanlah membayangkan mekanisma mengatasi jenayah semata, tetapi membayang tanggungjawab keadilan dan kebajikan yang menjadi asas tersebarnya kebaikan dan keamanan dalam negara.
Justeru itu, Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila beliau dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila isterinya Fatimah bertanya, dia berkata:
“Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang fakir yang lapar, yang sakit lagi derita, orang yang tidak berpakaian yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan hartanya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (Al-Zahabi, Tarikh al-Islam wa Wafayat al-Masyahir wa al-A’lam, 7/197. Beirut: Dar al-Kitab al-‘Arabi/1407H)
Demikianlah gambaran tanggungjawab pemerintahan yang ada dalam pemikiran beliau. Tanggungjawab menyebarkan kebajikan, pembahagian harta yang adil dan amanah serta kebaikan untuk rakyat di segenap lapisan masyarakat. Tanggungjawab inilah yang beliau takut dan bimbang Allah hukum beliau di akhirat kelak. Inilah asas kerahmatan dalam kepimpinan negara yang berdasarkan wahyu Allah. Tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah tentang kebajikan rakyat lebih ditakuti dibandingkan di hadapan rakyat sendiri atau ‘suruhanjaya rasuah’.
Itulah gambaran negara yang sepatutnya berada dalam pemikiran umat Islam yang cintakan Islam. Para sarjana Islam telah lama memperkatakan hal ini. Muhammad bin Ka’ab al-Qurtubi apabila diminta oleh ‘Umar bin Abd al-Aziz untuk menyifatkan keadilan pemerintah, katanya:
“Jadilah engkau bapa kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Demikian juga kepada wanita. Hukumlah manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam golongan yang melampau”.( Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202. Beirut: Muassasah ar-Risalah/1417H).

- Gambar Hiasan
Membezakan Jenis Jenayah
Dalam hudud ada dua jenis dosa yang dihukum; pertama; dosa yang membabitkan kesalahan individu dengan Allah S.W.T seperti berzina dan minum arak. Dosa bahagian ini lebih kepada merosakkan diri pelaku itu sendiri. Kedua; dosa yang merosakkan atau mengancam keselamatan masyarakat awam seperti merompak, merogol, mencuri, memberontak dan perkara yang berkaitan dengannya.
Dosa bahagian pertama Islam melarang kita melakukan tajassus ataupun intipan. Sementara dosa bahagian kedua, oleh kerana ia mengancam masyarakat dan fitnah lebih besar dari tajassus, maka intipan boleh dilakukan. Ini seperti yang disebut oleh al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H):
“Aku katakan; jika hanya semata-mata sangkaan maka tidak mencukupi dalam hal ini. Bahkan mestilah dengan pengetahuan, jika tidak ia termasuk dalam tajassus yang dilarang berdasarkan dalil al-Quran. Namun dibolehkan untuk suatu kemaslahatan yang mana membantah kemungkaran itu lebih kukuh dibandingkan meninggalkan tajassus dan kerosakan meninggalkan bantahan terhadap kemungkaran lebih dahsyat dari kerosakan tajassus. Atau mungkin boleh digabungkan bahawa pengharaman tajassus berkaitan dengan tanpa pengetahuan (sangkaan) kerana tidak dinamakan tajassus jika perlaksananya benar-benar mengetahui”. (Al-Syaukani, Al-Sail al-Jarar, 4/591 Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah/1405H)
Hudud Dan Hak Privasi
Ramai akan menganggap, apabila hudud dilaksanakan bererti privacy individu akan terganggu. Intipan di sana-sini akan dibuat untuk mencari orang yang berzina dan minum arak. Ini diburukkan lagi dengan gambaran perlaksanaan sekarang yang dilakukan oleh pihak penguatkuasa agama di sesetengah tempat apabila mereka seakan memasang ‘spy’ dalam mencari pelaku maksiat peribadi. Hal ini amat salah dan bercanggah dengan firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 12: (maksudnya)
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang..”
Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut:
“Aku ingin agar diberikan perhatian tentang perkara yang penting mengenai hudud; bahawa Islam tidak terkejar-kejar mencari bukti, tidak mengintai untuk melaksanakan hukum ke atas pelaku kesalahan, tidak mencipta alat untuk mencari rahsia pelaku maksiat atau memasang kamera tersembunyi mengambil gambar ketika mereka melakukan jenayah. Tidak pula menguatkuasakan polis pencari jenayah atau perisik untuk mengintip mereka yang menyanggahi syarak sehingga ditanggap yang terbabit. Bahkan kita dapati panduan Islam dalam hal ini tegas setegas-tegasnya dalam memelihara kehormatan peribadi manusia, pengharaman tajassus (mengintip) dan mencari keaiban manusia. Tidak boleh dilakukan oleh individu, tidak juga oleh pihak kerajaan”. (http://www.qaradawi.net/library/53/2534.html.)
Kemudian beliau mengemukakan dalil riwayat al-Hakim daripada ‘Abd ar-Rahman bin ‘Auf :
“Bahawa dia berkawal bersama Umar bin al-Khattab r.ahuma pada suatu malam di Madinah. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba ternampak nyalaan api di sebuah rumah. Mereka pun pergi menuju ke situ sehingga apabila hampiri didapati pintunya berkunci, di dalamnya ada sekumpulan orang dengan suara yang kuat.
Lalu Umar r.a. berkata -sambil memegang tangan ‘Abd ar-Rahman-: “Kau tahukah ini rumah siapa?”. Jawab: “Tidak”. Kata Umar: “Ini rumah Rabi’ah bin Umayyah bin Kalaf, mereka sekarang sedang mabuk arak, apa pendapat kau?”. Kata ‘Abd ar-Rahman: “Aku berpendapat kita sekarang telah melakukan apa yang Allah larang, Allah berfirman: “Jangan kamu mengintip”. Kita telah mengintip. Maka Umar pun pergi dan meninggalkan mereka”.( Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai sahih serta sokong oleh al-Zahabi).
Akibat dari amalan yang salah memberikan gambaran yang salah tentang hudud. Islam dalam urusan jenayah atau maksiat peribadi tidak membongkar yang tertutup, sebaliknya hanya mencegah yang nyata dan zahir sahaja. Seperti kata al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) :
“Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pencegahan) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini” (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair/1990).
Membina Masyarakat Yang Pemaaf
Dalam perlaksanaan hudud, pemerintah hendaklah mendidik rakyat agar mengelakkan sikap suka mengangkat kes hudud kepada pihak mahkamah atau berkuasa. Sebaliknya, hendaklah digalakkan kemaafan antara rakyat dan diselesaikan diluar mahkamah. Ini seperti hadis Nabi s.aw:
“Sesungguhnya pencuri pertama dalam Islam dibawa kepada Nabi s.a.w lalu diperintahkan agar dipotong tangan. Wajah Rasulullah s.a.w seakan kecewa sedih. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah! Seakan engkau membenci hal ini”. Jawab Nabi s.a.w: “Mengapa tidaknya aku benci, kamu semua telah menjadi penolong syaitan menentang saudara kamu. Sesungguhnya tidak wajar bagi pemerintah yang diangkat kepadanya hukuman had melainkan dilaksanakan”.
Lalu baginda membaca firman Allah: “Hendaklah kamu maafkan dan lupakan kesalahan, tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? (Surah an-Nur: 22)” (Riwayat Ahmad dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Dihasankan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah).
Keinginan sesetengah masyarakat awam yang tidak faham yang seakan ‘mengidam’ untuk melihat tangan dipotong adalah tidak serasi dengan inspirasi hudud bahkan itu menjadikan mereka ‘penolong syaitan’.
Hudud Memerlukan Ijtihad Baru
Tiada siapa yang mukmin menafikan kewujudan nas-nas hudud dalam al-Quran dan as-Sunnah. Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat. Umpamanya kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuhaqa sejak dahulu berbeza dalam hal ini. Cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan. Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira.
Demikian ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini. Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengan takzir (discretionary punishment).

BULAN Zulhijjah


BULAN Zulhijjah itu terkandung dalam empat bulan-bulan yang haramkan ustaz? Pun begitu pada bulan ini, terutamanya Zulhijjah ibadah yang dilakukan pada hari-hari itu memiliki kelebihan tertentu di sisi Allah SWT. Tolong ustaz jelaskan?
JAWAPAN:
PADA saat ini kita tengah berada di penghujung bulan Zulkaedah. Beberapa hari lagi akan masuk ke bulan Zulhijjah. Mungkin tidak ramai daripada kalangan kita yang menyedari kelebihan bulan Zulhijjah, terutama 10 hari yang pertama.
Oleh itu, ada baiknya saya membincangkan kelebihan 10 hari pertama bulan Zulhijjah pada kesempatan kali ini.
Perkara pertama yang mesti kita sedari, bulan Zulhijjah adalah salah satu dari bulan-bulan haram. Allah SWT berfirman: Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah 12 bulan dalam ketetapan Allah apabila menciptakan langit dan bumi. Di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu. (al-Taubah: 36)
Empat bulan haram itu adalah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Sejak zaman Jahiliah, bangsa Arab mengharamkan berperang pada bulan-bulan haram ini. Hukum ini juga berlaku pada awal Islam, namun kemudian hukum itu dimansuhkan. Allah SWT mengizinkan kaum Muslimin membela diri atau menyerang musuh pada bila-bila masa meski pada bulan-bulan haram sekalipun.
Meskipun begitu, empat bulan haram ini tetap memiliki keistimewaan berbanding bulan-bulan yang lain, iaitu pahala dan dosa yang dilakukan pada bulan-bulan ini akan digandakan balasannya. Demikian penjelasan Imam Al-Baihaqi dalam kitab Syu'ab Al-Iman.
Pahala
Kemuncak bulan-bulan haram adalah Zulhijjah. Kemuncak Zulhijjah terdapat pada 10 harinya yang pertama. Ibadah yang dilakukan pada hari-hari itu memiliki kelebihan tertentu di sisi Allah SWT.
Imam Al-Bukhari meriwayatkan sabda Rasulullah SAW: "Tidak ada hari-hari di mana amal saleh padanya yang lebih Allah cintai daripada (amalan yang dilakukan) pada hari-hari ini, yakni 10 hari pertama bulan Zulhijjah."
Seorang sahabat bertanya: "Tidak juga jihad di jalan Allah?"
Rasulullah SAW menjawab: "Tidak juga jihad di jalan Allah. Kecuali seseorang yang keluar dengan jiwa dan hartanya lalu tidak kembali lagi."
Menurut Ibnu Rajab Al-Hanbali, hadis ini menjadi dalil bahawa sebuah amalan kecil yang dilakukan pada saat-saat tertentu boleh menjadi lebih baik daripada amalan besar yang dilakukan pada saat-saat yang lain.
Ibadah solat, puasa dan zikir yang kita lakukan pada 10 hari awal Zulhijjah ini pahalanya boleh melebihi amalan jihad yang dilakukan pada hari-hari yang lain.

PADANG Arafah


PADANG Arafah dinamakan demikian kerana menurut sebahagian ulama, Nabi Adam AS dipertemukan kembali ('arafa) dengan Siti Hawa setelah kedua-duanya diturunkan dari Syurga. Sebahagian pendapat menyatakan perpisahan mereka selama lebih kurang 200 tahun. Mereka berdua bertemu kembali di Padang Arafah.
Lokasi Arafah terletak di sebelah tenggara Masjidil Haram sejauh 22 kilometer (km) dan ia dianggap sebagai kawasan Tanah Haram.
Jemaah haji hendaklah wukuf (berada) di Arafah pada 9 Zulhijjah, kerana jika tidak maka hajinya tidak sah. Kerana ia adalah rukun haji.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Haji adalah (wukuf) di Arafah." Ketika berada di Arafah pada 9 Zulhijjah hendaknya jemaah memperbanyak doa, berzikir, membaca al-Quran, talbiah dan lain-lainnya.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah."
Ibadah wukuf di Arafah adalah "kemuncak" ibadah haji. Semasa wukuf di Arafah jemaah bermuhasabah diri menilai kekurangan, kelemahan, menyedari dosa yang seterusnya memohon keampunan Allah SWT. Ini saat seseorang hamba kembali kepada Penciptanya untuk mendapat keampunan dan keredaan-Nya. Jika Allah menerima taubat mereka dan perjalanan hidup seterusnya mereka tidak lagi melakukan dosa, maka bayangan syurga akan dapat digapai.
Ada riwayat menyatakan, kehadiran para malaikat dan Allah SWT turun ke langit serendahnya menyaksikan para jemaah yang wukuf di Padang Arafah. Allah berfirman dalam hadis Qudsi kepada para malaikat-Nya bermaksud: "Lihatlah kepada orang-orang yang menziarahi rumah-Ku, sesungguhnya mereka telah mengunjungi-Ku, hingga kusut masai keadaannya dan penuh debu." (riwayat al-Hakim bersumber daripada Abu Hurairah).
Sungguh mereka berlaku ikhlas dalam melaksanakan ibadah haji, kerana itu mereka berhak mendapat limpahan kurniaan dan selayaknya Aku memberi mereka sebaik-baik pahala atas jerih payah serta sambutan atas panggilan-Ku.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud bahawa mengerjakan haji adalah satu jihad, jihad ertinya perjuangan. Perjuangan yang hebat dan besar adalah perjuangan melawan hawa nafsu. Di dalam ibadah haji, menentang hawa nafsu menjadi ujian terbesar jika hendak mencapai ibadah haji mabrur. Sesungguhnya hawa nafsu sekiranya tidak dikawal ia akan mendorong manusia ke lembah kejahatan dan kemungkaran.
Rasulullah SAW telah mengingatkan kita bahawa mengerjakan haji itu adalah yang bermaksud : "Kusut masai dan penuh debu." Digambarkan keadaan yang sedemikian kerana orang yang mengerjakan haji berlumba-lumba bersaing untuk mendapatkan keampunan Allah dan rahmat-Nya, ganjaran besar (syurga) yang penuh dengan kenikmatan dan kesenangan yang tidak terlintas di hati dan tergambar dalam pemikiran manusia.
Di Padang Arafah, di mana satu-satunya lokasi yang paling mustajab doa kita. Kerana di situ Allah SWT turun ke langit serendahnya untuk bertemu dan menyaksikan hamba-hamba-Nya yang ingin berjumpa dengan-Nya, mendengar segala doa dan permohonan hamba-Nya dan memakbulkan segala doa-doa mereka. Bahkan Allah memuji kepada hamba-Nya yang datang berwukuf di Arafah untuk menggapai rahmat dan keampunan-Nya.
Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah SWT memuji mereka yang sedang wukuf di Arafah kepada penghuni langit dan berkata kepada mereka: "Lihatlah kepada hamba-hamba-Ku yang datang kepada-Ku." (riwayat Imam Ahmad).


© Utusan Melayu (M) Bhd

Monday, October 22, 2012

99 Nama Nama Allah



 ***credit to..
Oleh lynn, 30-Aug-2002 00:45:21


1. Ar-Rahman - Yang Maha Pemurah
2. Ar-Rahim - Yang Maha Mengasihi
3. Al-Malik - Maharaja Teragung (Yang Maha Menguasai)
4. Al-Quddus - Yang Maha Suci
5. Al-Salam - Yang Maha Selamat Sejahtera
6. Al-Mu'min - Yang Maha Melimpahkan Keamanan
7. Al-Muhaimin -Yang Maha Pengawal serta Pengawas
8. Al-Aziz - Yang Maha Berkuasa
9. Al-Jabbar - Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya)
10. Al-Mutakabbir - Yang Melengkapi Segala kebesaranNya
11. Al-Khaliq - Yang Maha Pencipta
12. Al-Bari - Yang Maha Menjadikan
13. Al-Musawwir - Yang Maha Pembentuk
14. Al-Ghaffar - Yang Maha Pengampun
15. Al-Qahhar - Yang Maha Perkasa
16. Al-Wahhab - Yang Maha Penganugerah
17. Al-Razzaq - Yang Maha Pemberi Rezeki
18. Al-Fattah - Yang Maha Pembuka
19. Al-'Alim - Yang Maha Mengetahui
20. Al-Qabidh - Yang Maha Pengekang
21. Al-Basit - Yang Maha Melimpah Ni'mat
22. Al-Khafidh - Yang Maha Perendah (Pengurang)
23. Ar-Rafi' - Yang Maha Peninggi
24. Al-Mu'izz - Yang Maha Menghormati (Memuliakan)
25. Al-Muzill - Yang Maha Menghina
26. As-Sami' - Yang Maha Mendengar
27. Al-Basir - Yang Maha Melihat
28. Al-Hakam - Yang Maha Mengadili
29. Al-'Adl - Yang Maha 'Adil
30. Al-Latif - Yang Maha Lembut serta Halus
31. Al-Khabir - Yang Maha Mengetahui
32. Al-Halim - Yang Maha Penyabar
33. Al-'Azim - Yang Maha Agung
34. Al-Ghafur - Yang Maha Pengampun
35. Asy-Syakur - Yang Maha Bersyukur
36. Al-'Aliy - Yang Maha Tinggi serta Mulia
37. Al-Kabir - Yang Maha Besar
38. Al-Hafiz - Yang Maha Memelihara
39. Al-Muqit - Yang Maha Menjaga
40. Al-Hasib - Yang Maha Penghitung
41. Al-Jalil - Yang Maha Besar serta Mulia
42. Al-Karim - Yang Maha Pemurah
43. Ar-Raqib - Yang Maha Waspada
44. Al-Mujib - Yang Maha Pengkabul
45. Al-Wasi' - Yang Maha Luas
46. Al-Hakim - Yang Maha Bijaksana
47. Al-Wadud - Yang Maha Penyayang
48. Al-Majid - Yang Maha Mulia
49. Al-Ba'ith - Yang Maha Membangkitkan Semula
50. Asy-Syahid - Yang Maha Menyaksi
51. Al-Haqq - Yang Maha Benar
52. Al-Wakil - Yang Maha Pentadbir
53. Al-Qawiy - Yang Maha Kuat
54. Al-Matin - Yang Maha Teguh
55. Al-Waliy - Yang Maha Melindungi
56. Al-Hamid - Yang Maha Terpuji
57. Al-Muhsi - Yang Maha Penghitung
58. Al-Mubdi - Yang Maha Pencipta dari Asal
59. Al-Mu'id - Yang Maha Mengembali serta Memulihkan
60. Al-Muhyi - Yang Maha Menghidupkan
61. Al-Mumit - Yang Mematikan
62. Al-Hayy - Yang Senantiasa Hidup
63. Al-Qayyum - Yang Hidup serta Berdiri Sendiri
64. Al-Wajid - Yang Maha Penemu
65. Al-Majid - Yang Maha Mulia
66. Al-Wahid - Yang Maha Esa
67. Al-Ahad - Yang Tunggal
68. As-Samad - Yang Menjadi Tumpuan
69. Al-Qadir - Yang Maha Berupaya
70. Al-Muqtadir - Yang Maha Berkuasa
71. Al-Muqaddim - - Yang Maha Menyegera
72. Al-Mu'akhkhir - Yang Maha Penangguh
73. Al-Awwal - Yang Pertama
74. Al-Akhir - Yang Akhir
75. Az-Zahir - Yang Zahir
76. Al-Batin - Yang Batin
77. Al-Wali - Yang Wali / Yang Memerintah
78. Al-Muta'ali - Yang Maha Tinggi serta Mulia
79. Al-Barr - Yang banyak membuat kebajikan
80. At-Tawwab - Yang Menerima Taubat
81. Al-Muntaqim - Yang Menghukum (mereka yang bersalah)
82. Al-'Afuw - Yang Maha Pengampun
83. Ar-Ra'uf - Yang Maha Pengasih serta Penyayang
84. Malik-ul-Mulk - Pemilik Kedaulatan Yang Kekal
85. Dzul-Jalal-Wal-Ikram - Yang Mempunyai Kebesaran dan kemuliaan
86. Al-Muqsit - Yang Maha Saksama
87. Al-Jami' - Yang Maha Pengumpul
88. Al-Ghaniy - Yang Maha Kaya serta Serba Lengkap
89. Al-Mughni - Yang Maha Mengkayakan dan Memakmurkan
90. Al-Mani' - Yang Maha Pencegah
91. Al-Darr - Yang Mendatangkan Mudharat
92. Al-Nafi' - Yang Memberi Manfaat
93. Al-Nur - Cahaya
94. Al-Hadi - Yang Memimpin dan Memberi Pertunjuk
95. Al-Badi' - Yang Maha Pencipta Yang Tiada BandinganNya
96. Al-Baqi - Yang Maha Kekal
97. Al-Warith - Yang Maha Mewarisi
98. Ar-Rasyid - Yang Memimpin (Ke arah Kebenaran)
99. As-Sabur - Yang Maha Penyabar

Tuesday, August 23, 2011

KEMBARA DI HARI RAYA


Dahulu…saat indah zaman nubuwwah
Di kanan iman, di kiri ukhwah
Di tapak… kebersihan hati
Di puncak… kecanggihan teknologi 

 
Lalu keindahan Islam pun kembara
dari Makkah ke Madinah
Menuju Asia, Afrika dan Eropah
Jelajah seantero benua!

Ketika itu perilaku ummah dihias mahmudah
Di asas ‘lil Lah’ padu keikhlasan
Gerak kerja cekap dan berkesan
Kukuh seluruh sepenuh itqan

Puasa kita itulah kembaranya
Syawal kita itulah destinasinya
Membina TAQWA dengan yang Esa
Melahirkan AKHLAK sesama manusia
Menjana ITQAN di dalam kerja

Semuga Syawal kali ini
Adalah satu kemenangan
Menyemai kerendahan seorang hamba… di dalam jiwa
Menuai keperkasaan seorang khalifah… di maya pada

Jika tidak…
Kita terus terusan kembara!
Allah hu Akbar, Alllah hu Akbar, Allah hu Akbar!

LAPANGKAN HATIMU DENGAN TAUBAT

 ...tinta gentarasa...

Satu cara untuk mengetahui sejauh mana kita benar-benar beriman ialah dengan mengukur sejauh mana kesan dosa terhadap hati kita? Apakah hati kita akan terasa kesal dan menyesal dengan dosa? Atau kita merasa biasa-biasa sahaja apabila berdosa? Jika terasa menyesal, itu petanda iman masih ada di dalam dada. Sebaliknya, jika dosa tidak memberi kesan apa, malah kita tetap gembira… itu satu petanda buruk. Iman kita amat lemah, Hati kita sedang sakit. Boleh jadi sudah menanti masa sahaja untuk melayang.
 Apa tanda menyesal? Menyesal bukan menyesal jika kita hanya berasa sedih tanpa berbuat apa-apa. Tetapi menyesal yang sebenarnya apabila kita mula bertindak selaras dengan apa yang kita kesalkan. Kita menyesal dengan dosa? Langkahnya, terus kita tempuhi jalan-jalan taubat dengan memberhentikannya, niat tidak akan mengulanginya lagi dan berbuat baik sebagai ‘galang-ganti’ kepada kejahatan yang kita lakukan itu.
Mari kita bertanya pada hati masing-masing? Bagaimana kita dengan dosa? Bagaimana kita dengan taubat?  Amat malang di Ramadan 1432 H ini jika kita terlepas lagi peluang untuk diampunkan dosa seperti di Ramadan 1431 H yang lalu. Sedangkan bulan Ramadan yang sedang kita lalui ini  melimpah ruah dengan keberkatan, keampunan dan janji terlepas daripada api neraka.
Bagi orang yang beriman, peluang sebesar ini sangat dinanti. Sejak bulan Rejab lagi, mereka telah bersedia untuk menyambutnya dengan menyemarakkan ibadah. Mereka sedar Ramadan  Bayangkan, terlepas derjat dan pangkat di sisi Allah yang Maha Mulia, tentulah ruginya tidak terkira. Sedangkan manusia kini berebut-rebut mengejar pangkat di sisi manusia sesama manusia.
Pangkat di dunia tidak akan berguna selepas mati, sedangkan pangkat taqwa di sisi Allah bukan sahaja berguna di dunia – dengan jaminan pembelaan, kecukupan rezeki, diberi jalan keluar daripada sebarang masalah dan lain-lain, malah lebih berguna di akhirat nanti – kehidupan yang hakiki dan abadi.
Rasulullah SAW bersabda : “Malaikat Jibril datang kepadaku dan berkata : “Rugilah (kecewa) orang yang bila namamu disebut dia tidak mengucapkan shalawat atasmu”. Aku mengucap : “Amin”. “Rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orangtuanya tetapi dia tidak sampai bisa masuk ke surga”. Aku berkata : “Amin”. Jibril berkata lagi : “Rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan, tetapi tidak sampai terampuni dosa-dosanya”. Lalu aku mengucapkan : “Amin”. (HR. Ahmad)
Hati siapa yang tidak tersentuh apabila mendengar hadis di atas? Betapa ruginya nanti kita di akhirat sana. Dosa tidak diampunkan, masuk ke neraka dan jauh daripada rahmat dan pengampunan Allah. Menyesallah dahulu, kerana menyesal kemudian tidak berguna. Jika kita hendak menangis, maka menangislah pada hari ini… kerana menangis di akhirat sudah terlambat dan tidak berguna.
Takuitilah akibat dosa yang kita lakukan. Jangan ambil mudah dengan kemurkaan Allah. Jika marah isterti, suami, boss dan kawan-kawan pun sudah boleh menyebabkan hidup kita resah dan susah, apalagi murka Allah, Tuhan yang mencipta kita. Ya,   kita sering terlupa bencana akibat dosa boleh datang tiba-tiba. Lupakah kita dengan kaum Aad yang ditimpa bencana tepat ketika mana mereka berarak ria menuju ‘syurga’ ciptaan raja mereka? Apakah kita lupa bagaimana sikap Rasulullah SAW ketika baginda dan para sahabat melalui lokasi tempat kaum Aad dan Tsamud menerima bala? Baginda terlalu terganggu oleh ‘nostalgia dosa’ – hinggakan sejarah mencatitkan bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat menundukkan muka dan jangan memandang ke langit (tanda merendahkan diri) ketika melalui tempat tersebut.
Rasulullah SAW pernah berdoa memohon agar Allah tidak menurunkan bala bencana ketika gerhana berlaku. Baginda akan sembahyang dengan penuh tawaduk dan baginda berdoa:
“Tuhanku! Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), dan aku berada bersama mereka. Tidakkah engkau telah berjanji untuk tidak mengazab mereka (umat Islam), sedangkan mereka adalah orang yang bertaubat. (Sulaiman bin al-Ash’ath, Sunan Abi Daud)
Itulah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, seorang insan yang maksum daripada dosa dan dijamin masuk syurga. Padahal baginda insan yang mulia, para penduduk kota Madinah ialah para sahabat Rasulullah yang terkenal sebagai generasi al-Quran dan kota Madinah itu sendiri adalah kota suci yang penuh rahmat dan keberkatan. Dengan segala kelebihan itupun baginda masih tidak terasa ada jaminan keselamatan daripada bala bencana. Sinisnya, bagaimana nasib kita yang setiap masa bergelumang dengan kemungkaran dan kemaksiatan, kadang-kadang hidup di tengah kota yang di kelilingi premis dosa?
Walau bagaimanapun, bencana alam, penyakit-penyakit kronik, gejala sosial dan lain-lain masalah sebenarnya boleh membawa rahmat jika kita dapat mencungkil ibrahnya yang tersirat. la boleh diumpamakan sebagai racun kepada hati yang derhaka kepada Allah, tetapi penawar kepada hati yang tunduk dan patuh kepada Allah. Kata orang, “What happens ‘in’ you is more important than what happens ‘to’ you.” – apa yang berlaku ‘di dalam’ diri kita jauh lebih penting daripada apa yang berlaku kepada (‘di luar’) diri kita.
Untuk memahami yang tersirat dan mencungkil hakikat daripada sesuatu peristiwa, kita perlu menyingkap lembaran sejarah. Bencana alam yang telah menimpa umat nabi-nabi terdahulu kerana kederhakaan dan kedegilan mereka walaupun telah diberi peringatan berkali-kali perlu diamat-amati.
Renungilah hakikat ini: Umat Nabi Nuh a.s yang tunduk kepada hasutan syaitan, yang mana syaitan itu diciptakan daripada api – Allah musnahkan mereka dengan mendatangkan banjir besar. Kaum Saba’ yang juga menyembah api, Allah musnahkan dengan banjir. Apabila api diagung-agungkan selalunya Allah datangkan air sebagai pemusnah.
Hukum ini terus berjalan sepanjang zaman. Apabila berlaku kemungkaran yang bermaharajalela di tengah umat manusia, Allah akan datangkan bala bencana sebagai azab yang memusnahkan mereka. Inilah yang telah berlaku kepada umat Nabi Lut, yang ditelan bumi kerana mengamalkan homoseksual dan lesbian. Kaum Nabi Salleh kerana curang dalam perniagaan. Kaum Aad dan Tsamud yang ditimpa hujan batu kerana kederhakaannya.
‘Tentera Allah’ (air, angin, tanah) dihantar kepada para pendosa yang engkar walaupun telah diberi peringatan berulang kali oleh nabi masing-masing. Sepanjang sejarah, sudah lapan bangsa pada lapan zaman yang telah mendapat akibat buruk daripada Allah SWT kerana mendustakan rasul yang diutus kepada mereka. Kelapan-lapan kaum itu ialah:
  • Kaum Nabi Nuh.
  • Ashabul Rass – mendustakan nabi mereka yang bernama Hanzalah. Mereka menyembah berhala.
  • Kaum Tsamud – kaum Nabi Salleh.
  • Kaum Aad – kaum Nabi Hud.
  • Firaun dan pengikutnya.
  • Kaum Nabi Luth.
  • Ashabul Aikah – kaum Nabi Syuaib.
  • Kaum Tubba’.
Untungnya, umat Nabi Muhammad mempunyai banyak kelebihan berkat kasih sayang Allah kepada Nabi-Nya – Muhammad SAW. Bencana tidak berlaku serta-merta kepada umat Nabi Muhammad sepertimana yang menimpa umat nabi-nabi terdahulu. Masih ada penangguhan dan diberi tempoh masa untuk memperbaiki diri.
Bencana alam seperti tsunami, gempa bumi, tanah runtuh, banjir, kemarau dan lain-lain (walaupun sudah hebat dan dahsyat) tetapi ini berkali-kali ganda lebih ringan berbanding bencana yang menimpa umat-umat terdahulu. Apapun, mesejnya tetap sama – sebagai peringatan dan amaran. Dengarkanlah ‘bisikan’ Allah ini. Jangan sampai kita terpaksa mendengar ‘jeritan-Nya!’ (bencana yang lebih dahsyat).
Lihat sahaja loji-loji nuklear di Fusyima Jepun yang dilumpuhkan hanya dengan kuasa air. Bukankah ini satu tempelakan kepada kemajuan teknologi yang dibanggakan oleh manusia tetapi akhirnya tunduk kepada kuasa ‘konvensional’ yakni air?
Walau bagaimanapun, ada bencana yang lebih seni dan maknawi sifatnya. Tidak ketara oleh mata, tetapi sangat derita pada hati. Di dunia, dosa dapat membuat hati keras dan buta dari kebenaran. Ia akan menutup pintu hati dari melihat kebenaran dan membuatnya terbalik dalam membuat penilaian. Allah berfirman:
“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan, Kami seksa mereka secara mengejut, maka ketika itu mereka berputus asa. (Surah al-An’am 6: 44)
Manakala secara peribadi dosa akan menyebabkan hidup kita menjadi sempit, perasaan menjadi tidak keruan dan fikiran selalu kacau. Ada sahaja yang tidak kena walaupun kekadang kita sudah memiliki kekayaan, kesihatan dan pekerjaan. Firman Allah: “Dan barang siapa yang berpaling daripada peringatan Ku maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit.” Thaha: 24

Ibnu Khatir  menjelaskan keadaan orang yang melakukan dosa dengan katanya: “Di dunia dia tidak akan mendapat ketenteraman dan ketenangan. Hatinya gelisah akibat kesesatannya. Meski pun lahiriahnya nampak begitu senang, mampu memakan apa sahaja makanan yang diingini, mampu tinggal di mana sahaja yang dia kehendaki, namun selama dia belum sampai kepada keyakinan dan petunjuk maka hatinya akan sentiasa gelisah, bingung, ragu dan masih terus ragu. Ini ialah kehidupan yang sempit.”
Hati orang soleh begitu lembut, sensitif, mudah menerima cahaya hidayah dan taufik. Sebaliknya, hati seorang pendosa menjadi gelap, tertutup, berkarat, keras, dan kerananya tidak dapat ditembusi cahaya kebenaran.  Kita sering diingatkan bahawa apabila bencana menimpa jangan salahkan sesiapa, tetapi salahkanlah diri sendiri.
Perhatikanlah hari-hari yang kita lalui di Ramadan yang mulia ini, apakah penuh pahala atau sebaliknya. Bagaimana kita di sini (di dunia), begitulah kita di sana (akhirat) nanti. Siapa yang menyemai angin, pasti terpaksa menuai badai!

TANDA-TANDA MALAM AL QADAR…

 ..tinta gentarasa...

Kata orang lihat pada sebelah paginya – tidak sejuk, tidak panas. Tidak terang dan agak redup. Kata yang lain, ada air yang membeku. Tidak ada salakan anjing. Suasana tenang luar biasa. Syahdu dan sayu, dakwa sebahagian yang lain. Ada yang lebih yakin, mengatakan pada malam Jumaat 21 Ramadhan yang lalu. Itu malam ganjil, ditambah pula malam Jumaat. Lantas saya ada menerima SMS, ada sahabat-sahabat yang kesal kerana “terlepas” malam Al Qadar.
Satu SMS menyatakan,” ramai cakap malam tadi (21 Ramadhan) lailatul Qadar. Saya memang minta sangat nak ketemu dengannya. Tapi malam tadi mengantuk luar biasa. Rasa rugi kalau terlepas!” Memang rasa kesal akibat terlepas peluang keemasan untuk lebih dekat dengan Allah itu baik. Tetapi jangan terikat dengan Al Qadar, hingga semangat beribadat luntur akibat terlepasnya. Lalu saya balas SMS itu dengan kata, “ jadilah hamba Allah sejati yang beribadah sepanjang masa, di setiap keadaan dan suasana. Jangan jadi “hamba” malam Al Qadar yang beribadah hanya pada malam itu sahaja.”
Sayangnya, kita lebih terfokus melihat tanda-tanda mendapat Al Qadar pada alam, pada pokok, air dan lain-lain yang berada di luar diri. Sedangkan tanda mendapat Al Qadar itu ada pada diri sendiri. Bukankah mereka yang bertemu dengan malam Al Qadar amat bertuah kerana doa, taubat dan hajatnya “diangkat” oleh para malaikat lalu dimakbulkan Allah? Jadi, jika seseorang mendapat Al Qadar tentu jiwanya lebih tenang, akhlaknya menjadi lebih baik dan ibadahnya (sama ada habluminallah dan habluminannas) bertambah lebat. 
Justeru, tepuk dada dan tanyalah diri sendiri, bagaimana akhlak kita selepas “malam tadi” (malam yang dirasakan malam Al Qadar) apakah sudah berubah… terasa lebih ringan melaksanakan kebaikan dan rasa semakin enggan melakukan kejahatan? Jika ya, ya… kita telah mendapat malam Al Qadar. Bagaimana pula dengan sifat mazmumah – marah, hasad dengki, dendam, penakut, bakhil, cinta dunia, gila puji, riyak, ujub, cinta makan? Apakah semua sifat mazmumah itu semakin kendur, kalau tidak pun lebur sama sekali? Jika jawapannya ya, ya… malam Al Qadar sudah menjadi milik kita!
Malam Al Qadar ialah malam yang paling sibuk laluan ke langit dunia (umpama trafik jam) kerana turunnya pelbagai malaikat yang tidak kira banyaknya. Meriah sungguh sampai terbit fajar. Malaikat turun secara luar biasa banyaknya itu termasuklah yang paling tinggi pangkatnya di kalangan mereka – malaikat Jibrail. Masing-masing ada tugasnya. Pelbagai urusan dilaksanakan oleh mereka.
Salah satu urusan ialah “bertamu dalam hati” orang Islam yang bersih hatinya. Sekali bertamu tetapi kesannya berpanjangan. Impaknya, hati orang yang pernah menjadi tempat singgah malaikat akan berubah. Bisikan para malaikat mula mengambil tempat yang khusus dan menjadi begitu dominan dalam kehidupan seseorang itu. Mulai detik itu bisikan kebaikan (dari malaikat) akan mengatasi bisikan kejahatan (dari syaitan) dalam hati orang tersebut.
Ya, hidup ini sebenarnya kita lalui antara dua bisikan. Pertama, bisikan “hati kecil” yang suci dan baik. Kedua, bisikan “hati besar” yang kotor dan jahat. Bisikan ini sentiasa berperang dalam hati. Justeru, hati hakikatnya adalah wadah rebutan antara malaikat dan syaitan. Antara ilham dan waswas. Siapa yang menang, dialah yang akan menakluki hati dan terarahlah hati itu ke arah yang dikehendaki oleh “penakluknya”.
Orang yang mendapat malam Al Qadar sungguh bertuah. Hasil mujahadah, doa, taubatnya pada malam berkenaan, malaikat terus bertamu dan mendominasi hatinya. Sejak malam itu suara hati kecilnya akan sentiasa mengatasi hati besarnya. Mujahadahnya akan terbantu. Perjalanannya menuju Allah akan lebih terpimpin dan terjamin. Hatinya menjadi pusat kesucian dan kebaikan… maka lahirlah yang baik-baik sahaja pada tindakan dan percakapan. Mahmudahnya menenggelamkan mazmumah.
Itulah hati orang yang telah mendapat malam Al Qadar. Orang lain mungkin tidak perasan pada awalnya. Ia hanya dapat dirasai oleh orang yang mengalaminya. Rasa tenang, bahagia, lapang dan sejuk. Kemudian sedikit demi sedikit orang lain mula ketara… Ah, dia sudah berubah. Ah, indahnya perilakunya. Subhanallah, dia telah berubah. Apa yang ada dalam hatinya mula terserlah. Dan itulah tanda-tanda malam Al Qadar tahun itu yang paling ketara dan terasa, bukan pada alam dan jagat raya tetapi pada diri manusia makhluk yang paling sempurna.
Semoga malam-malam berbaki ini, kita akan menambah pecutan amal. Tidak kiralah sama ada Al Qadar telah berlalu atau masih menanti detik untuk bertamu. Kita tidak akan menunggu tetapi kita akan memburu. Kita akan terus memburu sekalipun malam ganjil telah tamat dan Ramadhan sudah berakhir. Sampai bila? Sampai bila-bila. Kerana bagi mukmin yang cintakan Allah, setiap malam adalah malam Al Qadar. Al Qadar boleh datang, boleh pergi… tetapi Penciptanya sentiasa ada… sampai bila-bila. Semoga kita mati, setelah bertemu malam Al Qadar ini (1430 h) atau dalam perjalanan menuju malam Al Qadar nanti…
Persediaan menenemuinya bukan dibuat  semalaman, seharian, mingguan atau bulanan. Tetapi seluruh hayat kita adalah persediaan untuk “menemuinya”. Mengapa? Kerana perjuangan membersihkan hati adalah perjuangan sepanjang hayat. Qalbun Salim (hati sejahtera) itu adalah cita-cita abadi kita!
Ya Allah, untuk mengatakan cinta, aku takut berdusta. Untuk mengatakan tidak, aku takut derhaka. Aku hanya insan hina, yang sedang jatuh bangun di jalan berliku menuju-Mu. Bantulah aku, kesihanilah aku, sayangilah aku… Jangan KAU pinggirkan aku wahai Rahman, wahai Rahim.

Friday, July 23, 2010

Bagai Subuh Isnin yang terakhir... Ahmad Lutfi Othman

CATATAN pengalaman saya menjalani pembedahan pintasan jantung (bypass operation) dibuat sekadar mahu berkongsi rasa, di samping menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga, serta cuba mengambil iktibar positif dari setiap takah-takah kehidupan (bukankah kita diminta merenung pengajaran walaupun hanya tertusuk duri yang kecil), jauh sekali daripada niat sengaja mengangkat episod personal. Memang rakaman ini terasa sukar sekali, ya ... dalam keadaan serba-salah dibimbangi menyelinap keegoan atau niat mengangkat diri, sedangkan motifnya demi manfaat bersama.

Seringkali ada cebisan memori yang dilihat kecil oleh seseorang tetapi mampu mendorong satu perasaan luar biasa oleh individu yang lain.

KEMATIAN
Lagipun, bagi saya, apa jua yang dapat mengingatkan kita tentang kematian (dan memberi keinsafan), usah dipersiakan. Bukankah Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat merenggut kelazatan dunia, iaitu mati." Maksud firman Allah: "Tiap-tiap yang bernyawa akjan merasai mati" (ali-Imran: 185 dan al-Ankabut: 57).

Baginda turut berpesan bahawa Mukmin yang paling beruntung dan bijak ialah ereka yang paling banyak mengingati mati dan mempunyai bekal yang banyak untuk menghadapi kematian.

Justeru, agak kerap juga saya menukilkan kisah kematian yang paling hampir dengan diri, misalnya pemergian secara tiba-tiba puteri tercinta, Nurul Syafiqah, 11 tahun, pada awal pagi 1 Ramadan 2005 (akhbar Siasah), juga kehilangan bonda tersayang, Aishah Megat Hamzah, 11 tahun lalu (majalah Detik). Syafiqah pergi di depan mata kami sekeluarga, manakala khabar duka tentang ibu dikejutkan melalui telefon menjelang subuh.

Difahamkan ramai meninggal dunia apabila mendapat serangan jantung buat kali pertama. Sebahagiannya langsung tidak didahului oleh tanda-tanda awal. Diri sendiri pun tidak menyedari dihimpit risiko arteri tersumbat dan degupan jantung terhenti.

Ada rakan yang kelihatan segar-bugar, aktif bersukan, tiba-tiba dimaklumkan telah dikejarkan ke hospital selepas bermain futsal dan pulang ke rahmatullah dalam perjalanan.

Maut memang mengintai di mana-mana. Alangkah beruntungnya orang yang sentiasa bersiapa siaga untuk menemui Ilahi dan diberi kesempatan (dan kesedaran) untuk menambah bekalan, selain bertaubat nasuha.

MENYEGERAKAN TAUBAT

Dalam kitab "Ensiklopedia Kematian", karya Imam Al-Qurtubi, disebutkan bahawa ciri-ciri orang yang selalu mengingati mati adalah menyegerakan taubat, rendah diri dan rajin beribadah. Sementara ciri-ciri orang yang tidak mengingati mati adalah menangguhkan taubat, tidak ikhlas dengan pemberiannya dan malas beribadah.

Setiap kita pasti ada pengalaman tersendiri diberi "peluang kedua" hidup mengabdikan diri setulusnya, merasai kemanisan beribadah, khusyuk di hening pagi bermunajat, berdoa, "membuat janji baru" dengan Tuhan.

Namun, begitulah kelemahan insan ... keinsafan mudah hilang seperti juga ia kerap kali muncul secara drastik. Ia membekas hanya seketika, tidak mampu membentuk personaliti lebih unggul, dan kembali sombong-angkuh-lalai.

Ahad, 25 April, saya diberitahu bahawa pakar perunding bedah jantung, Prof Madya Dr Mohd Zamrin Dimon akan mengetuai team pembedahan awal pagi esoknya. (Sebelum itu, dijangka Prof Madya Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman, yang saya kenali lebih awal, tiga tahun lalu).

Ternyata perwatakan Dr Zamrin cukup menyenangkan. Ketika berbicara beliau memandang tepat wajah pesakit, memberi ruang cukup selesa untuk saya bertanyakan apa jua keraguan. Senyumannya sentiasa menguntum.

Memang banyak yang berselirat dalam fikiran saya. Ia tidak lari daripada membayangkan entah apa risiko yang bakal menyusul. Alhamdulillah, sejak masuk wad tiga hari sebelum itu saya banyak melatih diri untuk pasrah, bertawakal dan bersedia menerima kemungkinan solat Subuh Isnin, 26 April adalah yang terakhir buat hamba yang menimbun dosa ini. Pergi tidak kembali ...

"SAYA PUN TAKUT ..."

"Ada apa lagi yang nak tanya?" Tanya Dr Zamrin selepas melihat saya agak diam. "Tak ada apa-apa," jawab saya, masih menyimpan debar.

"Lutfi takut Dr," pintas isteri saya, Siti Hawa. "Kalau saya di tempat dia pun saya takut," segera Dr Zamrin membalas sambil tersenyum. (Beliau berpengalaman lebih 10 tahun "membuka jantung" sekitar 1,500 pesakit yang dibedahnya, setiap tiga hari dalam seminggu tugasnya di bilik bedah).

Tidak perlu dinafikan, itulah perasaan yang sukar diredakan, "takut" ... tetapi pantas disusuli dengan "harap". Takut dengan pelbagai risiko "bypass". Meskipun mungkin hanya sekitar tujuh peratus gagal (mati), tetapi jika menimpa kita, ia "adalah 100 peratus gagal"!Namun harapan tetap menggunung, mengharapkan kasih sayang Allah yang tidak bertepi itu.

Sebenarnya semasa menunggu "takdir", saya lebih suka menyendiri. Masa terlalu berharga.  Selain isteri di bilik no 3 Wad Sutera, saya mengharapkan tidak ramai tetamu yang menziarahi. Alhamdulillah, tiap detik berlalu (kiraan waktu bukan lagi hari atau jam, tetapi minit dan saat) saya cuba manfaatkan sebaiknya.

Sebaik mendapat "arahan" supaya "bypass", dua minggu sebelum itu, segera saya menghubungi ustaz-ustaz yang saya kenal agar dapat dititipkan "panduan praktikal menghadapi kematian".

Ada yang terkejut dengan permintaan saya. Rakan sekerja menitis air mata.  "Saya anggap inilah masa berbaki yang ada. Kalau Allah panjangkan umur, itu bonus," SMS saya buat seorang teman.

MERENTASI ALAM BARZAKH

Saya cuba hubungi Dr Musa Fathullah Harun, pengarang "Perjalanan Rabbani: Merentasi Alam Dunia, Barzakh dan Akhirat". Beliau pernah menjadi guru saya di UTM, Jalan Semarak, sekitar 1980-an dulu.

Semasa mengendalikan akhbar Siasah, saya menjemput Dr Musa mengisi ruangan soal jawab agama. Di samping berhasrat mendapatkan nasihat terakhir daripadanya, saya cukup tertarik dengan huraian dalam kitab setebal 720 halaman itu, terutama tentang sakratul maut dan himpitan kubur. Ia agak berbeda dengan peringatan tentang kematian dalam "Ihya Ulumiddin".

Maksud firman Allah, al-Fajr, ayat 27-30: "Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai, maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku."

Begitu juga maksud sabda Nabi s.a.w., yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Hurairah r.a: "Dan jadikanlah maut itu sebagai kerehatan bagi daripada segala keburukan."

Selepas kematian anak saya, Nurul Syafiqah, hampir 100 buah kitab berkenaan saya hadiahkan kepada kawan-kawan, bersama terjemahan al-Quran, "Pimpinan Ar-Rahman". Dalam kitab itu, Dr Musa menukilkan pelbagai hujah dan dalil bahawa  kematian bagi orang Mukmin tidaklah menyakitkan seperti orang kafir atau yang derhaka kepada Allah.

"Hadis yang menggambarkan kesengsaraan dan azab luar biasa yang dihadapi orang Mukmin ketika dicabut nyawa adalah daif, batil dan ada yang palsu serta bercanggah dengan firman Allah," tulisannya dipetik.

Malang sekali saya gagal mendapatkan amanat Dr Musa, namun kitabnya menjadi bacaan wajib, terutama bab amalan harian Rabbani, sepanjang tempoh kritikal menunggu pembedahan, di samping "Pimpinan Ar-Rahman".

Selain itu, "Ensiklopedia Kematian" dan 10 jilid "Tafsir Ibn Kathir" menjadi teman sekatil. Dalam menafsirkan surah Alam Nasyrah, ayat kelima dan keenam, dinukilkan dalam yafsir itu bahawa kalimat kesulitan (al-'usr) dalam bentuk tunggal (mufrad) tetapi kalimat kemudahan (al-yusr) dalam bentuk tidak ada ketentuannya (nakirah),sehingga Nabi bersabda, "satu kesulitan itu tidak akan pernah mengalahkan dua kemudahan".

Surah-surah tentang pemantapan aqidah dan huru-hara kiamat menjadi pilihan. Ingatan seorang jemaah Afrika di Masjid Nabi dua tahun lalu sentiasa mengingatkan saya agar jangan meninggalkan bacaan Al-Kahfi setiap Jumaat, selain melazimi diri dengan Al-Hasyr setiap pagi dan petang.

Imam Ahmad meriwayatkan dari Mu'qil bin Yasar, bahawa Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Barangsiapa ketika bangun pagi mengucapkan tiga kali, 'A'uudzu billaahis Sami'il 'Aliim minasy syaitaanir rajiim (aku berlindung kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari syaitan yang terkutuk), lalu membaca tiga ayat dari akhir surah al-Hasyr, maka Allah menugaskan kepadanya tujuh puluh ribu malaikat untuk mendoakannya hingga sore hari. Dan jika ia meninggal pada hari itu, maka ia wafat sebagai syahid. Dan barangsiapa mengucapkanya pada sore hari, maka ia juga mendapatkan kedudukan yang sama."

BUKU-BUKU BERPENGARUH

Saya menyelak kembali buku-buku yang amat berpengaruh di waktu mahasiswa dulu, misalnya "Petunjuk Sepanjang Jalan", tulisan Syed Qutb dan karya-karya ulama haraki Hassan Al-Banna dan Maududi. Seorang teman menunjukkan buku "Pahala Hidup 7000 Tahun!" Menyedari tugas saya di Harakah, beliau merujuk petikan hadis, yang maksudnya: "Jika aku berjalan bersama saudaraku untuk membantu menyelesaikan hajatnya, ia lebih aku sukai daripada beriktikaf di masjid selama sebulan," dan "orang yang menunjukkan kepada kebaikan (sama pahala) seperti pembuat kebaikan juga".

Soal memberi makan cukup menarik perhatian. Saya menelefon kawan di Pejabat Agung PAS, bertanyakan apakah masih ada program memberi makan percuma setiap petang Jumaat.

Rupanya pemberian sebungkus nasi dan sebotol air mineral itu tetap berjalan walaupun tidak mendapat publisiti. Saya berniat, apabila sihat nanti, akan meuar-uarkan program tersebut secara lebih meluas melalui Harakah, agar lebih ramai dermawan dapat menyumbang. Laporan Berita Harian, seminggu sebelum saya dibedah, tentang seorang pengusaha di Shah Alam menyediakan makanan percuma setiap hari di restoran kecilnya begitu mengujakan.

Segera saya menghantar SMS kepadanya. Beliau membalas, "kami cukup gembira kalau saudara dapat singgah ke tempat kami."

Saya turut diperingatkan oleh seorang ustaz tentang penyebab terkabulnya doa. Antara adabnya adalah bertawasul kepada Allah dengan Asma-ul Husna dan sifat-Nya yang Maha Tinggi, atau dengan amal soleh yang pernah dikerjakan. "Bismilllah enam", risalah Manzil dan al-Ma'thurat, serta solat rawatib, tahajud, taubat, hajat, witir dan dhuha menjadi kelaziman.

Dua untaian doa dalam al-Ma'thurat cukup mengesankan. Maksud yang pertama: "Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya akan terhalanglah sesuatu di bumi dan di langit, untuk menimpakan bencana, dan Ia Maha Mendengar dan Mengetahui. Maksud yang kedua: "Allahumma, Engkau adalah Tuhanku, tidak ada Tuhan selain Engkau; Engkau yang menciptakan dan aku abdi-Mu, dan aku berada dalam perjanjian dengan-Mu, ikrar kepada-Mu, (yang akan kulaksanakan dengan) segala kemampuanku; dan aku berlindung pada-Mu dari kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan; aku mengakui (dengan sebenar-benarnya) nikmat-Mu kepadaku; dan aku mengakui dosaku, maka ampunilah aku, kerana tidak ada yang boleh mengampuni dosa-dosa, kecuali Engkau."

SUBUH TERAKHIR


Sebaik usai solat Subuh pagi Isnin, ketika jururawat menunggu untuk menolak katil ke bilik bedah, isteri terus berpesan agar tetap mengulangi ayat 51 at-Taubah, bermaksud: "Katakanlah: Sesekali tidak akan menimpa kamiu melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami dan hanyalah kepada Allah orang-orang beriman harus bertawakal."

Subuh itu terasa cukup syahdu dan tenang sekali walaupun saya terlanggar pantang sebelum pembedahan, iaitu tidak boleh minum apa-apa lagi selepas jam 12 tengah malam.  Cukup berat mahu bangun dari sejadah. Apakan daya, tiga jururawat dengan wajah manis, sudah tercegat di tepi. Saya perhatikan wajah Siti dalam-dalam ...

Monday, July 19, 2010

Qada' dan Qadar

Apa yang dimaksudkan dengan qada dan qadar. Adakah takdir seseorang itu telah ditentukan sejak kita lahir lagi? Jikalau begitu, adakah kita sudah ditakdirkan untuk masuk syurga atau neraka?
Apa yang  pasti ajal maut sudah ditentukan oleh Allah s.w.t. Cuma, dalam keadaan apa kita akan mati. Adakah sebagai seorang yang beriman atau tidak. Adakah itu juga telah ditentukan?
Jawapan :
MENGIKUT pandangan Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari mentakrifkan: "Qada merupakan kehendak Allah s.w.t .yang bersifat azali yang bergantung dengan sesuatu yang
berlaku."
Beriman kepada qada Allah s.w.t. dan qadar-Nya adalah adalah salah daripada rukun akidah dan ia adalah rukun yang keenam daripada rukun-rukun iman.
Kesempurnaan iman seseorang bergantung rapat dengan kepercayaan dan keimanan yang tidak berbelah bahagi akan ketentuan Allah s.w.t. yang diterimanya.

Persoalan berkaitan qada dan qadar menjadi pertelingkahan dan perdebatan di kalangan aliran pemikiran agama Islam. Ia juga menjadi punca kepada perpecahan
sehingga lahirnya pelbagai aliran dengan pandangan yang sederhana dan pandangan yang ekstrem. Sehingga perbalahan itu menjadi punca kepada mengkafirkan
golongan yang tidak cenderung kepada pandangan mereka.
Para ulama berbeza pendapat tentang perbezaan antara kedua istilah tersebut (qada dan qadar). Sebahagian mengatakan bahawa qadar adalah ketentuan Allah
sejak zaman azali (zaman yang tak ada awalnya), sedangkan qada adalah ketetapan Allah terhadap sesuatu pada waktu terjadi.
Maka ketika Allah menetapkan sesuatu akan terjadi pada waktunya, ketentuan ini disebut qadar. Kemudian apabila tiba waktu yang telah ditetapkan pada sesuatu
tersebut, ketentuan tersebut disebut qada.
Masalah ini (qada) banyak disebut dalam al-Quran, seperti firman Allah yang bermaksud: Sesuatu itu telah diqada. (Yusuf: 41). Dan firman Allah lagi yang
bermaksudnya: Allah mengqada dengan benar. (Ghafir: 20). Dan ayat-ayat lain yang serupa.
Maka qadar adalah ketentuan Allah terhadap segala sesuatu sejak zaman azali, sedangkan qada merupakan pelaksanaan qadar ketika terjadi. Sebahagian ulama
mengatakan kedua-dua istilah tersebut mempunyai satu makna.
Pendapat yang dianggap rajih (kuat) adalah bahwa kedua istilah tersebut bila dikumpulkan (qadar-qada), maka mempunyai makna berbeza, tetapi apabila dipisahkan
satu dengan yang lain maka mempunyai makna yang sama.
Dr. Qahtan Abdul Rahman al-Duriy dalam kitabnya yang berjudul Usuluddin al-Islamiy membahagikan qada dan qadar kepada dua bahagian: Pertama: af’al al-idthirariyyah
(perbuatan yang dilakukan oleh manusia secara terpaksa). Perkara yang tiada daya usaha bagi manusia dan manusia tidak boleh memilih, atau dalam erti kata
yang lain tiada pilihan bagi manusia melainkan dihadapinya, seperti tangannya menggigil, bersin dan sebagainya.
Kedua: af’al Ikhtiyariyyah (perbuatan yang boleh dipilih oleh manusia) untuk melakukannya atau tidak melakukannya seperti bercakap, berjalan dan sebagainya.
Berhubung dengan perkara ini Imam Nawawi mentakrifkan maksud qadar dengan berkata: "Qadar atau takdir ialah semua perkara atau benda yang wujud di alam
ini telah ditentukan dan ditetapkan mengikut garisan yang telah dibuat oleh Allah s.w.t. sebelum sesuatu itu berlaku dan terjadi, di mana Allah mengetahui
apa sahaja yang akan berlaku dan yang akan terjadi ke atas sesuatu itu dalam masa dan waktu yang telah ditentukan Allah sesuai dengan garisan yang telah
ditentukan-Nya."
Selalu kita dengar ungkapan "kita merancang Allah jua yang menentukan". Kita selaku hamba yang diciptakan hanya mampu merancang, biar hebat sekali manapun
rancangan kita, namun keputusan muktamadnya daripada Allah s.w.t.
Cuma persoalannya apa yang kita rancang? Bagaimana kita merancang? Apa matlamat perancangan kita? Apa usaha kita untuk mencapai perancangan tersebut? Semua
ini dilihat oleh Allah s.w.t. untuk menetapkan keputusan. Adakalanya keputusan daripada Allah s.w.t. berbentuk musibah.
Ketahuilah sesungguhnya setiap sesuatu yang menimpa manusia sama ada yang baik mahupun yang buruk adalah kehendak Allah s.w.t. Jika ketentuan itu merupakan
nikmat wajib dia bersyukur dan sekiranya ketentuan itu merupakan musibah maka wajib dia bersabar. Ini kerana Allah menguji manusia dengan kenikmatan dan
musibah.
Kita masuk syurga dengan pilihan kita dan kita masuk syurga dengan pilihan kita juga. Yang dimaksudkan dengan tertulis sejak azali lagi ialah, ilmu Allah
s.w.t. mendahului perbuatan manusia. Contohnya, pada hari pertama seorang guru mengajar di bilik darjah, dia dapat menilai potensi kecerdikan seseorang
murid.
Justeru itu, pada hari peperiksaan pelajar itu benar-benar cemerlang. Guru tadi dapat menilai sebelum peperiksaan dan keputusan dikeluarkan. Ilmu guru dalam
menilai murid tadi adalah berdasarkan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki oleh guru tadi. Bagi Allah lebih daripada itu.
Allah s.w.t. menetapkan demikian kerana ilmu Allah telah mendahului perbuatan manusia. Untuk itu manusia tidak boleh berserah kepada takdir bulat-bulat
tanpa berusaha ke arah mencari kebaikan untuk memanfaat di dunia dan di akhirat.

Thursday, July 15, 2010

Istiwa A’zam – Kedudukan Matahari Tepat di atas Ka’bah...'mmea'

Arah Qiblat boleh disemak dengan tepat ketika Istiwa A'zam
Penentuan arah qiblat yang tepat sangat penting kerana ia merupakan antara syarat sah solat samada solat fardhu atau sunnat.  Jadi ummat ISLAM mesti memastikan kedudukan arah qiblatnya tepat mengadap Ka’bah.
Alhamdulillah, setiap tahun ada 2 waktu yang telah ALLAH subhanahu wata’ala tentukan kedudukan matahari betul-betul tepat di atas Ka’bah.  Fenomena ini dipanggil Istiwa A’zam (Istiwa Utama).
Alhamdulillah, dengan ketentuan ALLAH ‘Azza wa Jalla ini, membolehkan ummat ISLAM di seluruh muka bumi sejak dahulu hingga hari kiamat memeriksa dan menyemak arah qiblat dengan mudah dan tepat. SubhanALLAH…



Bilakah Istiwa A’zam berlaku?

Di Malaysia, waktu berlakunya fenomena ini ialah pada:
  • 28 MEI setiap tahun, tepat pukul 5.16 petang, dan
  • 16 JULAI setiap tahun, tepat pukul 5.28 petang. 

Apa yang perlu dilakukan untuk menyemak qiblat dengan tepat?


Sebelum
  • Pastikan jam yang selalu dibuat rujukan oleh tuan/puan mengikuti waktu piawai yang tepat.  Untuk menentukan ketepatan waktu, tuan/puan boleh memeriksanya dengan SIRIM atau boleh juga merujuk kepada waktu yang terpapar di televisyen atau radio.  Ketepatan waktu yang mengikut piawai adalah penting untuk mendapat hasil yang betul.  Justeru, betulkan jam tuan/puan mengikut waktu piawai yang betul.
  • Cari objek lurus yang keras seperti batang kayu, tiang atau pen.
  • Pacakkan objek tersebut secara menegak (bersudut 90°) di atas permukaan yang rata.
  • Pastikan bayang-bayang yang terhasil dari objek tersebut jelas boleh dilihat dengan terang dan jelas.
  • Dan pastikan juga tuan/puan boleh melihat matahari dari kedudukan tempat tuan/puan pacakkan objek lurus tersebut dan tidak terlindung.
  • Tunggu dengan sabar waktu yang disebutkan di atas.
Ketika peristiwa ini berlaku:

  • Perhatikan bayang-bayang yang terhasil dari objek lurus yang dipacakkan tersebut.

  • Arah qiblat adalah arah yang bertentangan dengan jatuhnya bayang-bayang itu.  (Rujuk gambar di atas)

  • Tandakan arah qiblat.
Selepas.
  • Yakinlah bahawa itu merupakan arah qiblat yang tepat.

  • Bersyukurlah kepada ALLAH subhanahu wata’ala yang telah memberikan peluang untuk tuan/puan memeriksa arah qiblat melalui kaedah ini.

  • Hadapkanlah tubuh tuan/puan ke arah qiblat tersebut dengan penuh khusyuk ketika solat fardhu dan sunnat.
Mudah-mudahan perkongsian ini bisa memberikan manfaat buat tuan/puan yang mahu mengambil manfaat.  Sebarkan, insyaALLAH…(www.muzir.wordpress.com)

Fadilat Surah Al-Ikhlas...'mmea'

Pengajaran

Allah tidak menjanjikan hidup ini tidak pernah susah,
bersuka-ria tanpa kesedihan, Panas tanpa hujan tetapi
ia memberi kita kekuatan, menenangkan kita semasa
kesedihan dan menunjukkan jalan yang
sebenar-benarnya.
Janganlah kita sombong dengan kelebihan yang sementara.


KEHEBATAN SURAH AL-IKHLAS

' Au zubillah himinashsyaitan nirrajim..bismilla hirrahmannirrahi m '

Tafsirannya:
Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam,
Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana
dengan
bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam
tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama
cacing kepanasan. Sebelum anda masuk rumah, bacalah ayat di atas,
kemudian bacalah surah Al-Ikhlas (iaitu ayat: Qulhuwallahu ahad.
Allahussamad.. Lamyalid walam yu-lad. Walam yakul lahu kufuwan
ahad..) sebanyak 3 kali.

Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah...
Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di rumah
berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut. Amalkanlah bersolat
kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan
membantu kita menjawab persoalan kubur.
Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar
menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat, amalan
daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab
salam malaikat itu.

Diriwayatkan oleh Iman Bukhari sabda Nabi Muhammad sa.w:
' Barang siapa membaca Qul huwa ' llahu ahad 100,000 kali maka sesungguhnya
ia telah menebus dirinya dari Allah, maka menyeru yang menyeru dari pihak
Allah di langit dan di bumi. Kusaksikan bahwa sifulan itu telah menjadi pemendekaan
Allah sesungguhnya ia adalah pemerdekaan dari sisi Allah, Sesungguhnya ia adalah
pemerdekaan dari neraka ' . Inilah yang dinamakan membaca Qulhua ' llah ahad
satu hatam yaitu 100,000 kali dengan diwiridkan seberapa ribu kesanggupan kita
sehari..

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

Barangsiapa membaca
surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia,
maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan
kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian
siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. (Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul
Qurthuby).
Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya Siapakah antara
Kamu yang dapat khatam Qur ' an dalam jangkamasa dua-tiga minit? Tiada seorang
dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan
bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur ' an dalam begitu cepat. Kemudiannya
Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali
bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang
dikatakannya
itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. Rasulullah SAW menjawab
dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali
ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran... Lalu dengan membaca surah
Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus
Al-Quran.

Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:

Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000
sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan.

Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya
setiap satu
padang sahara itu seluas dari timur hingga ke barat. Pada setiap padang sahara itu terdapat
80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas.

Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka: Wahai Tuhan kami,
sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah
Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan...

Sabda Rasulullah SAW lagi:

Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu
tertulis di
sayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s,
Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan
ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s.

Siapa membaca surah Fatihah, al-ikhlas, al-falaq, dan an-annas setiap satu sebanyak 7 kali
selepas solat jumaat, nescaya terpelihara dari perkara keji dan segala bala hinggalah ke
jumaat yang berikiutnya. .

Jika dibaca 3 surah ini al-ikhlas, al-falaq and an-nass pagi dan petang nescaya tidak
mengalami apa-apa kesusahan.


Nota:
sampaikanlah ilmu ini kepada kawan2 yang lain. Sepertimana sabda Rasulullah SAW
' Sampaikanlah pesanankuwalaupun satu ayat ' . Sesungguhnya apabila matinya seseorang anak Adam itu, hanya 3 perkara yang akan dibawanya bersama :
1) Sedekah/amal jariahnya
2) Doa anak-anaknya yang soleh
3) Ilmu yang bermanfaat yang disampaikannya kepada orang lain

Friday, July 9, 2010

SEJARAH ISRA' MI'RAJ........(10 JULAI 2010/27 REJAB 1431H)



Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq tersebut mencecah bumi.

Baginda bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis. Baginda bersabda lagi: Aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi.

Baginda bersabda lagi: Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril a.s. Aku memilih susu. Lalu Jibril a.s berkata: Engkau telah memilih fitrah.

Lalu Jibril a.s membawaku naik ke langit. Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Adam a.s, beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan.

Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Isa bin Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah s.w.t Yang bermaksud: Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi darjatnya.

Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar mereka tidak kembali lagi kepadanya. Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Baginda bersabda: Ketika baginda merayau-rayau meninjau kejadian Allah s.w.t, baginda dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya.

Lalu Allah s.w.t memberikan wahyu kepada baginda dengan mewajibkan solat lima puluh waktu sehari semalam. Tatakala baginda turun dan bertemu Nabi Musa a.s, dia bertanya: Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu? Baginda bersabda: Solat lima puluh waktu. Nabi Musa a.s berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israel dan memberitahu mereka. Baginda bersabda: Baginda kemudiannya kembali kepada Tuhan dan berkata: Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku. Lalu Allah s.w.t mengurangkan lima waktu solat dari baginda.

Baginda kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata: Allah telah mengurangkan lima waktu solat dariku. Nabi Musa a.s berkata: Umatmu masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi. Baginda bersabda: Baginda tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah s.w.t berfirman Yang bermaksud: Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap solat fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu solat fardu sama dengan lima puluh solat fardu.

Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya. Baginda turun hingga sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan. Baginda menyahut: Aku terlalu banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepada-Nya. (HR Muslim)


Allahumma solli wasallim 'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad